Followers


Pages

Tuesday, August 13, 2013

Malam

Bismillah.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

Wahai malam,
Mendirikanmu adalah suatu pengajian,
Padanya Al-Quran mengajarkanku makna keikhlasan,
Lalu aku menekankannya sebagai suatu jalan,

Di syurga ia mendudukanku,
Ia memberi pandangan kepadaku tentang dunia,
melalui angan palsu ia membenamku,
Seperti mengkarung yang diwarnai,

Dengan keburukan yang berusaha melenyapkanku,
maka aku menjahuinya,
Menentang dan mengawasinya,
ternyata ia membisikiku.

Maka dekatkanlah diri kita dengan Pencipta di kala malam. Agar menjadi perisai dan penambah keimanan kita mencari cinta ALLAH.


Bertepatan dengan janji Allah didalam surah Al-Isra' ayat: 79. Semoga Allah mengangkat kita satu tempat terpuji. Insya Allah. 

Minal Aidil Wal Faizin khususan lil muslimin wa muslimat, semoga  amalan di bulan Al-Quran yakni Ramadan berterusan hatta dil wakti ya :) Mudah2an Istiqamah hendaknya.Doakan bersama.Ameen.

Sunday, July 28, 2013

Toleh.

Bismillah.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad.

Ramadan telah berbaki 10 hari lagi, fasa maghfirah semakin anjak meninggalkan kita, tak perlu toleh ke belakang, pandang lah kehadapan, bukan masa untuk lari-lari anak lagi, namun sekarang masa untuk memecut mengejar masa yang berbaki.

Benarlah kalam Allah di dalam Al-Quran Surah Al-‘Asr berbunyi:
“Demi MASA, Sesungguhnya manusia berada didalam kerugian”

Tetapi bukan lah Allah meletakkan kita selaku hamba keseluruhannya di dalam kerugian. Bila kita tadabbur ayat selepasnya terdapat lafaz istisna “إلا”  mengecualikan golongan manusia yang berada didalam kerugian.

Sambungan pada surah Al-‘Asr
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”

Keimanan kepada Allah dengan menzahirkan diri kita melalui amal ibadat, masa diisi dengan perkara amal ibadat mencerminkan manusia itu tidak berada didalam kalangan manusia yang rugi.

Anggaplah Ramadan kali merupakan satu lapangan atau peluang untuk kita menganjak diri kita supaya menjadi manusia yang terbaik  dari sebelumnya. Tak perlu menoleh dan mengutip unsur “jahiliah yang dahulu”. Rugilah kita apabila kita tidak memanfaatkan bulan ini dengan perkara-perkara yang hak.

Percayalah,
Kita tidak perlu toleh belakang untuk melihat kehidupan lalu, pandanglah kehadapan yakni mencari pahala sebanyaknya. Biarlah Eid yang bakal menyinggah nanti merupakan sebaik-baik kemenangan kita.

Jangan ada keluhan sebegini..
“ Sayangnya tidak manfaatkan Ramadan sebaiknya”

Jangan toleh lagi, jangan mengeluh, marilah kita sama-sama berusaha.  Berusaha adalah sebaik penyelesaian. Kita hanya boleh menoleh untuk mentajdidkan diri kita menjadi yang terbaik. Bukan menoleh untuk meratapi kesalahan kita tanpa ada usaha. Ingat itu. 

Biarlah tolehan kita untuk iktibar bukan hanya di pandang sepi. 

" يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك وعلى عبادك وعلى دعوتك"

Allahumma Ameen.


Mudah-mudahan ALLAH mencampakkan hati kita dalam kalangan orang-orang yang ikhlas menunaikan ibadatnya. Selamat memburu lailatul Qadr dalam 10 malam terakhir ini.





Wallahu'alam.

Friday, July 12, 2013

Perkongsian Ramadan~

Bismillah


Ramadan dinanti, bagi yang merindui, bila kembali, para mukmin yang mencintai, mengisi hari-hari dengan ibadat untuk mengejar pahala dan redha ilahi. J RAMADAN merupakan  bulan yang dinanti-nantikan oleh orang-orang mukmin bagi melipatkan gandakan amal ibadat. Sepertimana terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang fadhilat bulan Ramadan ini antara dibuka pintu syurga seluas-luasnya, pintu langit dibuka dan sebagainya.


Bulan Al-Quran.


Bulan Ramadan ini seharusnya kita mengisi masa kita untuk mengejar pahala antaranya  dengan membaca Al-Quran. Bulan Ramadan ini dikenali juga dengan bulan Al-Quran.

Semua mempunyai target masing-masing untuk khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali. Disini, terdapat sedikit perkongsian yang diperoleh dari syeikh saya sendiri terutama untuk kami bagaimana cara membaca Al-Quran hingga khatam. Kita boleh cuba pelbagaikan cara bacaan Al-Quran kita.

Pertama: Membaca Al-Quran secara sendiri tanpa had juzuk . Kebanyakan daripada kita menggunakan teknik ini. Teknik ini biasa kita gunakan dan kita boleh target lebih contohnya sehari 5 juz x 6 hari = 30 juz, sebulan ada 30 hari bahagi 6 boleh khatam lima kali. Ini contoh bagi yang mampu saja. Boleh buat mengikut target masing-masing.

Kedua: Membaca juzuk Al-Quran mengikut hari dalam bulan tersebut.  Contohnya pada hari pertama puasa baca juzuk 1, hari kedua juzuk kedua dan seterusnya. Dan tidak ada had juzuk dalam bacaan Misalnya, hari pertama kita baca juzuk pertama hingga kita mampu, hari kedua juzuk kedua hingga juzuk yang kita mampu dan hari ketiga juzuk ketiga hingga juzuk kita mampu dan seterusnya pada hari-hari lain. Cara ini sesuai dan sangat bagus untuk orang yang mengulang hafalan Al-Quran.

Ketiga: Baca mengikut kaedah talaqqi bersama masyaikh qurra iaitu mengikut bacaan mereka. Contoh bacaan Ghamidi, Masyari, Sudais dan sebagaimanya. Tidak semestinya kita perlu berhadapan dengan mereka, kita boleh membuka mp3 dan ikut membaca bersama-sama. Pastikan baca hingga khatam. Boleh buat sehari sejuzuk. Boleh tengok dekat link ini banyak imam-imam besar 30 juzu' http://quranicaudio.com/

Kalau kita boleh mempelbagaikan cara kita membaca AL-Quran pasti lebih menarik. Insyaallah kita akan merasai kemanisan tersebut.


Tambahan, tadarus juga digalakkan kerana dari zaman nabi lagi digunakan kaedah ini.

Cuba kita kira berapa kali kita boleh khatam tahun ni? Bukan untuk mengejar khatam semata namun ini adalah salah satu ikhtiar untuk kita kejar pahala. Dan jangan lupa pula untukmentadabbur makna Al-Quran itu. Ok, selamat mencuba. Selamat mengisi bulan ini dengan beribadat, berdoa membaca Al-Quran, mengejar pahala dan semoga kita memperoleh Lailatul Qadar dan memperoleh syurga. InsyaAllah. Salam Ramadan Kareem.

Wallahu'alam.

Thursday, July 4, 2013

Kuat.

Bismillah.




Aku ingin jadi kuat,
Bukanlah seperti rekaan watak-watak superhero,
Aku ingin menjadi kuat,
Seperti kuatnya keluarga Yasir,
Diseksa namun imannya teguh mengalir.

Aku ingin menjadi kuat
Sekuat dan sehebat Khalid Al-Walid,
Kuat nya semangat jihadnya demi mengejar syahid,
Tidak pernah ada istilah sakit,
Kental  rohaninya dan jasadnya menghadapi sang musuh pembelit.

Aku ingin menjadi kuat,
Sekuat semangat Nabi Muhammad,
Menyebar sinar iman dengan tekad,
Tidak pernah luntur semangat membulat jihad,
Hinggalah tercabut ruh dari jasad.


Aku ingin..ingin..jadi seperti mereka..tapi mampukah aku? Aku hamba yang lemah. L

اللهم انصرنا الإخوان المسلمين في مصر في فلسطين في سريا في ماليزيا في كل زمان و كل مكان. 

Aminn..Ya Rabb. Sama-samalah kita mendoakan kejayaan Islam. Sungguh, kejayaan Islam tidak mampu digapai dengan mudah, namun memerlukan usaha kita semua. Ayuh tembakkan doa.

Wallahu'alam.

Thursday, June 27, 2013

Diam Lebih Baik.

Bismillah.

Diam
Kadang-kadang diam itu lebih baik.
Mengapa?
Banyak cakap hati kita keras,
Banyak cakap banyak menyakitkan hati orang,
Banyak cakap menunjukkan kelemahan kita sendiri.

Diam bukan bererti kalah,
Diam bukan bererti mengalah,
Tapi diam lebih baik dari berbalah,
Kadang-kadang diam jadi penyudah,
Dari bertelagah tak sudah-sudah.

Khususan lil nafsi yang sedia dhoif ni. Manusia ni kelemahan nya ialah selalu melakukan kesilapan. Insyaallah akan cuba bercakap benda-benda yang bermanfaat saja. Kalam taujihat dari mak tadi, mak pesan suruh jaga akhlak, jaga tutur kata (yakni cakap bila perlu dan bermanfaat) sebab kata-kata cerminan peribadi. Buat sahabat-sahabat, dengan rendah hati nya saya ingin memohon kemaafan andai kata-kata saya mengguris atau menyakitkan hati. Sungguh, saya masih belajar untuk menjadi yang baik  untuk mencapai redha Allah, menjadi anak yang solehah buat mak dan ayah malah insyaallah untuk menjadi isteri yang solehah buat suami nanti. Insyaallah doakan ya.


Moga ALLAH lancarkan lidah kita untuk menjaga kalamNYA, agar tidak menyalah gunakannya untuk kepentingan sendiri dan menyebarkan Islam ke hati-hati insan. Amin.


wallahu'alam.

Sunday, June 9, 2013

Isra' dan Mi'raj

Bismillah.

Setelah sekian lama "menyepi" dari menulis, hari ini ingin dikongsikan tentang iktibar dari peristiwa Isra' dan Mi'raj sepertimana yang terdapat didalam Al-Quran, berada di tengah-tengah didalam Al-Quran mempunyai mesej yang terbesar untuk kita semua.

"Sesungguhnya Al-Quran tidak akan masuk padanya batil yang tidak benar"

Kita semua memang maklum tentang peristiwa Isra' dan Mi'raj ini. Secara ringkasnya Nabi Muhammad di angkat keluar ke langit ke tujuh hingga ke sidratil muntaha. Peristiwa inilah umat Islam disyariatkan untuk menunaikan solat lima waktu.

Peristiwa Isra' Dan Mi'raj ada tujuannya yang besar tanpa kita sedar.

1. Merupakan peristiwa benar ke atas Rasulullah atas jasad dan ruh. Kalau kita perhatikan mengikut logik akal memang tidak masuk akal tapi dengan "kekuasaan" Allah semuanya tidak ada istilah mustahil. Sekiranya kita beriman tidak akan ada isu mempertikai tentang perkara ghaib ini.

2. Menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allaah.

3. Membuktikan maqam insan Rabbani, Malaikat tidak sampai tetapi Rasulullah sampai.

4. Isra' adalah ujian. Maksudnya disini ialah ujian pada kehidupan sekarang, Islam sudah tersedia namun Islam tetap ditentang dan ditolak.

5. Bersiap sedia untuk menghadapi cabaran. cabaran yang terbesar ialah cabaran aqidah.

6. Supaya kita berfikir tentang alam luar. Alam yang kita tengok sekarang sangat jelas tetapi kita lupa ada alam lain yang Allah cipta tanapa kita dapat lihat secara kasar.

p/s:  Tulis secara ringkas supaya tidak pening :) wallahu'alam, kalau ada kesilapan dalam pemahaman.

Rujukan: Ceramah Isra'Mi'raj TG Dr.Harun Din Al-Hafiz, Hayyu Asyir, Kaherah.

Saturday, May 11, 2013

Keadaan-keadaan orang-orang yang meninggalkan Al-Quran

Bismillah, alhamdulillah sempat lagi menaip walaupun sekarang dalam fatrah imtihan, sebenarnya entri terbaru ni untuk peringatan diri sendiri dan juga sahabat2 agar tidak mensia2kan kalam Allah.  Kita boleh melihat melalui 6 aspek adakah kita meninggalkan Al-Quran ataupun tidak.Yang..



Pertama: Kita tidak mendengar mahupun membacanya. Kita mempunyai 24 jam masa namun dalam tempoh sehari itu, mulut dan telinga kita langsung tidak dihidangi dengan Al-Quran.

Kedua: Kita membaca AL-Quran namun tidak merenunginya dan tidak pula memikirkan kandungan makna-makna nya, juga merenungi maksud Allah dalam firman-firmannya.

Ketiga: Kita tidak mengamalkan ayat Al-Quran. Walaupun kita membaca bait-bait ayat Al-Quran itu, namun  selalu hanya mampu berhujah tanpa beramal. Allah sendiri berfirman di dalam surah As Saff, mengenai golongan yang berhujah tanpa amal. Rujuk surah As Saff ayat 2.

Keempat: Tidak menjadikannya sebagai ubat penawar. Al-Quran merupakan ubat bagi mengatasi tekanan jiwa dan segala kerisauan yang menimpa manusia. Kesimpulan nya Al-Quran ini merupakan ubat dan penawar bagi hati.

Kelima: Kita tidak menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan hukum. Kita lebih mempercayai sumber-sumber rujukan lain sekalipun didalam Al-Quran sendiri terdapat dalil-dalil hukum samada didalam sesuatu kumpulan mahupun individu sendiri.

Keenam: Situasi malu keran Al-Quram. Contohnya kita segan hendak membaca di hadapan kawan walaupun pada waktu itu memang berniat hendak membacanya. Boleh rujuk surah Al-A'raf ayat 2.

Mudah2an perkongsian ini menjadi muhasabah kepada kita semua. Hakikatnya kita sebagai manusia memang sering melakukan kesilapan sepertimana di dalam surah Al Nisa ayat 79. Segala yang baik datang daripada Allah dan yang buruk datangnya daripada kelemahan kita sendiri. Wallahu'alam.